Saturday 22 March 2014

Kepentingan Pelancongan



Kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita



            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan. 



           Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.


            Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional. Pakaian tradisional seperti baju kurung boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.

Disediakan oleh: Tan Chi Ying

No comments:

Post a Comment